7 Perangkap Semasa Menuntut Ilmu
1. Masih Mengenang Kegemilangan Lalu
Ramai penuntut di kolej/universiti adalah pelajar-pelajar cemerlang di
sekolah menengah. Ini memberi mereka rasa selamat yang palsu. Mereka
mungkin telah menjadi pelajar kesayangan
guru dan pelajar cemerlang dalam kelas mereka tetapi apa yang mereka
tidak sedar ialah apabila mereka masuk ke kolej/universiti, mereka
sedang belajar dengan 200 lagi pelajar cemerlang. Mereka juga tidak
sedar bahawa mereka sedang mempelajari subjek yang keseluruhannya baru
yang mana mereka perlu mendapat bimbingan untuk memperolehi ilmu
pengetahuan. Oleh yang demikian, jika pendekatan mereka silap, sukar
bagi mereka untuk memahami apa yang mereka sedang pelajari.
2. Kejutan Budaya
Penuntut yang masuk ke kolej/universiti akan mengalami perubahan yang
mendadak dalam budaya hidup dan budaya belajar mereka yang mana kini
mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa mereka atau disiplin ketat
sekolah berasrama. Oleh kerana kehadiran ke kuliah tidak diambil maka
tidak ada sesiapa pun yang tahu jika seseorang itu ponteng kuliahnya. Di
sekolah atau pusat matrikulasi, semua yang perlu dipelajari oleh
pelajar diberi oleh guru atau tutor. Sebaliknya di kolej/universiti,
pensyarah bertugas membekalkan prinsip-prinsip asas dan ilmu pengetahuan
teras yang perlu diperluaskan oleh penuntut-penuntut sendiri dan
berkeupayaan menggunakan ilmu yang diberi.
Kejutan budaya yang
mendadak ini menyebabkan ada penuntut-penuntut menghadapi kesukaran
menyesuaikan diri mereka. Sekiranya keadaan ini tidak di tekankan kepada
penuntut-penuntut dan menyediakan mereka bersedia terhadap kenyataan
ini, kejutan budaya ini boleh menjejaskan prestasi mereka. Pendekatan
pembelajaran berasaskan masalah yang digunakan di kolej/universiti
adalah sesuatu yang baru dan ia menggunakan kaedah pembelajaran terarah
pada penuntut dan ia adalah amat berbeza daripada kaedah belajar di
sekolah.
Situasi sebenar: Seorang penuntut yang baru masuk ke
kolej/universiti diberi sebuah kereta dan telefon bimbit dan tinggal di
pangsapuri bersama kawan-kawannya. Dengan budaya berkumpulan ini mereka
keluar makan malam pada pukul 8 malam dan balik pada jam 10 malam,
kemudian baru mula belajar. Mereka meneruskan rutin ini sehingga semua
ahli dalam kumpulan ini gagal peperiksaan dalam peperiksaan tahun
pertama. Selepas gagal percubaan mengulangi peperiksaan yang sama mereka
terpaksa bertukar ke fakulti lain.
3. Memilih Atau Dipilih Oleh Rakan-rakan Yang ‘Salah’
Bercakap melalui pengalaman saya, saya dapati ramai pelajar yang
cemerlang di sekolah tidak menunjukkan prestasi sebaik yang sepatutnya
di universiti oleh kerana mereka bergaul dengan kumpulan rakan yang
salah yang tidak tahu keutamaan dan matlamat penuntut kolej/universiti.
Mereka suka dan teruja bertemu kawan-kawan baru dan menemui cara-cara
baru menghabiskan masa berhibur sesama mereka terutama sekali apabila
mereka mendapat banyak wang daripada ibu bapa kaya yang berfikir anak
mereka akan mencapai prestasi yang baik jika mereka diberi
segala-galanya.
4. Hilang Semangat
Ramai pelajar
belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan semata-mata untuk masuk
universiti. Malangnya, haluan masa depan kerjaya mereka selepas masuk ke
universiti tidak difikirkan dulu atau dibincangkan dengan kaunselor
sekolah. Setelah bertungkus-lumus untuk masuk ke universiti, mereka
hilang semangat dan hilang motivasi untuk belajar.
5. Dipaksa Oleh Ibu Bapa Untuk Mengambil Jurusan Tertentu
Contohnya, bidang perubatan. Ada juga penuntut-penuntut yang tidak
berminat dalam jurusan perubatan tetapi masuk ke kolej/universiti kerana
dipaksa oleh ibu bapa mereka. Subjek-subjek perubatan tidak boleh
dipelajari jika seseornag itu tidak berminat. Melalui pengalaman saya,
saya pernah melihat pelajar yang sudah masuk tahun empat berhenti kerana
mereka tidak dapat meneruskan dan terpaksa memulakan pengajian di
fakulti lain.
6. Belajar Bersendirian
Sewaktu menuntut
di kolej/universiti, belajar dalam kumpulan adalah sangat penting. Tiga
sebab utama kenapa ada penuntut-penuntut tidak belajar dalam kumpulan:
Tidak mahu orang lain tahu tentang kejahilan mereka dalam subjek-subjek yang diambil
Takut berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan yang lain yang
mungkin memperolehi markah yang lebih tinggi daripada mereka
Tidak mahu berusaha lebih
Melalui pengalaman saya, ramai penuntut yang tidak mendapat prestasi
baik adalah mereka yang tidak mempunyai kumpulan belajar dan hanya
berpuas hati duduk di perpustakaan berjam-jam lamanya dan membaca buku.
Apabila mereka tidak lulus dengan baik dalam peperiksaan, mereka menjadi
murung kerana tidak ada tempat mengadu. Keadaan ini menyebabkan mereka
patah semangat dan hilang dorongan untuk belajar. Akhirnya berlakulah
lingkaran ganas sebab dan akibat dengan mengakibatkan bertambah lagi
kehilangan semangat mereka. Sebaliknya penuntut-penuntut yang ada
kumpulan belajar lulus dengan lebih baik dan jika ada di antara mereka
yang lulus tidak sebegitu baik, rakan sekumpulan akan cuba membantu
mereka sebab kelemahan setiap ahli telah didedahkan semasa sesi
perbincangan.
7. Terlalu Bersaing dan Tidak Bekerjasama
Keadaan ini lazim berlaku dikalangan penuntut-penuntut perempuan.
Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka adalah pelajar cemerlang
di sekolah menengah atau pusat matrikulasi. Akibatnya, mereka mahu kekal
menjadi pelajar cemerlang dan menjadi terlalu bersemangat serta cuba
mendapat sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh, tanpa memberi
pertimbangan kepada orang lain. Masalah ini dijelmakan dalam salah satu
atau semua tingkah laku berikut:
Berebut mendapat perhatian pensyarah
Bersikap mementingkan diri dan tidak rela berkongsi dengan orang lain
nota- nota dan buku-buku yang baik yang diberi pelajar senior
Mengawal atau mendominasikan sesi makmal dan tidak beri peluang kepada orang lain menyertai membuat eksperimen
Menyembunyikan fakta yang mereka telah pelajari
Belajar di kolej/universiti diibaratkan seperti berperang. Kita tidak
boleh melakukannya bersendirian. Kerja berkumpulan amat penting. Tidak
ada siapa menjadi pesaing dan semua orang merupakan rakan seperjuangan.
Semua ahli mesti berkongsi kelengkapan perang untuk memenangi peperangan
dan memperolehi kejayaan bersama. Tidak ada kuota berapa orang patut
dapat A di kolej/universiti. Hakikatnya, seorang rakan yang mendapat A
tidak akan merampas peluang kita untuk mendapat A. Lebih banyak kita
memberi, lebih banyak kita mendapat. Dengan kata lain, lebih banyak kita
memberi ilmu pengetahuan kepada rakan-rakan kita, berkongsi nota dengan
mereka, lebih banyak mereka akan berkongsi dengan kita. Dengan itu dua
tambah dua jadi lima, ini yang kita panggil SINERGI.
by PROF. DR. MUHAYA HJ MOHAMAD
BAGAIMANA MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BAIK DAN BERJAYA
huhu...klau ikut rase macam da pernah terkena dengan perangkap nii... tp In Shaa Allah harap berjaya dunia dan akhirat....=)
No comments:
Post a Comment