1.0 PENGENALAN
Setiap hari dalam kehidupan kita pasti akan menggunakan elektrik tidak kira dalam apa jua aspek pekerjaan. Penggunaan elektrik telah memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada manusia malah juga kepada pembangunan sesebuah negara. Penggunaan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas dalam penjanaan tenaga elektrik adalah sangat penting di dunia termasuklah Malaysia. Hampir kesemua tenaga elektrik di dunia dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Kini, setelah lebih 200 tahun ia digunakan, sumber tenaga ini telah semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan harga bahan api fosil melambung tinggi.
Permintaan terhadap bekalan elektrik di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Hal ini menyebabkan permintaan bahan api fosil sebagai bahan bakar di stesen jana kuasa elektrik turut meningkat untuk membolehkan tenaga elektrik dapat dibekalkan dengan secukupnya secara menyeluruh. Namun begitu, harga minyak mentah dunia yang melambung dan tidak stabil sememangnya menjadi beban kepada orang ramai kerana ia memberi kesan besar kepada kos penjanaan tenaga elektrik, selain daripada sektor pengangkutan.
Sukar dibayangkan sekiranya kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu tempat tanpa kenderaan. Surirumah atau pengusaha restoran mungkin tidak dapat menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalanraya juga mungkin kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi juga tentu kepenatan kerana terpaksa menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi akibat ketiadaan elektrik. Tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan di dunia kini.
Penggunaan sumber bahan api fosil ini dalam penjanaan tenaga turut mendatangkan banyak kesan negatif seperti pencemaran udara, hujan asid, jerebu dan pemanasan global. Oleh itu, negara maju kini giat meneroka sumber alternatif mendapatkan tenaga yang mesra alam, selamat, menjimatkan dan berkekalan. Malaysia juga tidak terkecuali dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha mencari sumber alternatif yang bersesuaian untuk menggantikan sumber bahan api fosil tersebut.
2.0 PENJANAAN TENAGA ELEKTRIK DI MALAYSIA
Di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah syarikat bekalan elektrik yang terbesar khasnya di Semenanjung Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara. Manakala di Sabah dan Sarawak, masing-masing dibekalkan oleh Lembaga Letrik Sabah (LLS) dan Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO). Selain itu, terdapat juga syarikat-syarikat elektrik persendirian yang lain yang turut membekalkan tenaga elektrik di negara ini. Menurut Wikipedia, aset perniagaan TNB adalah sejumlah RM60.0 billion. Perniagaannya terasnya ialah menjana, menghantar dan membahagi tenaga elektrik ke seluruh Malaysia. TNB juga adalah pengendali Grid Nasional, iaitu jaringan talian penghantar elektrik ke seluruh negara. Lebih 420 stesen pencawang di Semenanjung Malaysia dihubungkan oleh jaringan ini melalui talian 132kV, 275kV dan 500kV. TNB mempunyai keupayaan jana elektrik sebanyak 11,296MW. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji jana kuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen jana kuasa hidro.
Penjana yang besar digunakan di stesen jana kuasa untuk menghasilkan bekalan elektrik. Kebanyakan penjana menghasilkan bekalan elektrik arus ulang-alik. Arus ulang alik (a.u) adalah lebih mudah daripada arus terus (d.c) kerana ia boleh diubah kepada suatu voltan yang lebih tinggi atau lebih rendah menerusi satu peranti disebut transformer. Maka, voltan yang berlainan yang diperlukan boleh dibekalkan kepada kilang, pejabat, gudang, rumah kediaman dan lain-lain. Bilangan loji jana kuasa elektrik utama di Malaysia adalah sebanyak 32 buah di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak pula sebanyak 15 buah. Jumlah keseluruhan tenaga elektrik yang dijana oleh kesemua loji jana kuasa ini ialah 20,663MWe dengan kapasiti penjanaan bekalan elektrik sebanyak 96,060GWh setahun. Dengan keluasan tanah 329,733sq. km dan jumlah penduduk sebanyak 21.1 juta di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak sebanyak 5.5 juta pada tahun 2006, memperlihatkan permintaan terhadap bekalan tenaga elektrik semakin meningkat setiap tahun. Dianggarkan keperluan bekalan tenaga elektrik di negara ini pada tahun 2006 sahaja adalah sebanyak 14,357MWe iaitu sebanyak 12,990MWe di Semenanjung Malaysia dan sebnayak 1,367MWe di Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, melalui penjanaan tenaga elektrik ini ke seluruh negara, maka dapat memberi keselesaan dan kemudahan kepada semua rakyat Malaysia dalam menjalani kehidupan sehari-harian di samping mempercepatkan lagi tugas-tugas mereka. Contohnya seperti memasak, menggosok dan sebagainya.
Foto 2.0 : Talian penghantaran elektrik 500kV melalui Lebuhraya Utara Selatan dan Taiping.
Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Grid_Nasional
3.0 PENGGUNAAN BAHAN API FOSIL DALAM PENJANAAN TENAGA ELEKTRIK DI MALAYSIA
Bahan api fosil merupakan sisa tinggalan tumbuh-tumbuhan dan haiwan darat dan laut yang telah lama mati dan tertimbus di bawah timbunan batuan dalam kerak bumi. Ia tersimpan kira-kira 400 juta tahun dahulu dalam keadaan tekanan dan suhu yang tinggi dan akan berubah secara semula jadi lalu membentuk arang batu, petroleum dan gas asli. (Murtedza Mohamed, 1991:11)
Bahan api fosil terdiri daripada arang batu, petroleum dan gas asli. Bahan api fosil merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Ketiga-tiga sumber ini terhad dan akan semakin berkurangan dan pupus jika digunakan dan dieksploitasi secara berterus-terusan walaupun banyak kawasan baru ditemui. Bahan api fosil mengandungi karbon dan hidrokarbon, maka ia sesuai digunakan untuk menjana sumber tenaga. Di Malaysia, kita masih lagi bergantung kepada bahan api fosil dalam penjanaan elektrik dan pengangkutan.
Petroleum terhasil daripada timbunan atau pemampatan bahan-bahan organik di dalam timbunan pasir atau tanah liat dalam jangka masa berjuta-juta tahun lamanya lalu membentuk kawasan luaran yang tebal di sekelilingnya. Tekanan dan haba yang tinggi menyebabkan bahan organik terurai menjadi bentuk cecair dan gas. Cecair ini dikenali sebagai petroleum dan terperangkap di dalam lohongan batuan kerak bumi, bertambah dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa. Perlombongan petroleum telah dijalankan sejak 1909 di Miri. Kapasiti pengeluarannya 650,000 tong sehari. Ia dijangka masih dapat digunakan untuk tempoh 20 tahun akan datang lagi. Industri penapisan petroleum terdapat di Kerteh, Port Dickson, Tangga Batu dan Lutong.
Gas asli ialah gas yang terbentuk dalam lapisan magma di dalam bumi. Gas ini terperangkap di dalam lapisan-lapisan bumi, biasanya bersama-sama petroleum. Komposisi juga hampir sama, sebatian hidrokarbon terutamanya gas Metana. Pusat Elektrik Paka berfungsi sebagai pusat pengeluaran utama gas asli. Jepun adalah merupakan pengguna gas asli cecair ang utama di dunia dan mengimport lebih separuh gas asli cecair dunia. Jepun turut mengimport gas asli cecair dari Malaysia.
Seterusnya, jika tumbuh-tumbuhan mati dan tertimbus lalu terawet dalam jangka masa berjuta-juta tahun, maka tumbuhan tersebut akan menjadi pepejal hitam iaitu arang batu. Arang batu merupakan batuan yang keras dan mudah terbakar. Hal ini kerana ia mengandungi karbon dan hidrokarbon selain sebatian dan unsur-unsur lain, terutamanya sulfur. Apabila arang batu tersebut dibakar, tenaga purba yang tersimpan di dalamnya akan dilepaskan sebagai haba. Stesen jana kuasa elektrik Sultan Salahudin Abd. Aziz, dan Tanjung Bin merupakan stesen jana kuasa yang menggunakan arang. Tanjung Bin merupakan stesen jana kuasa yang terbesar di Asia. Malaysia mempunyai simpanan arang batu di negeri Sabah dan Sarawak. Namun begitu, ia hanya dilombong dalam peratusan yang kecil. Oleh itu, kebanyakan sumber arang batu diimport dari negara luar.
Tenaga merujuk kepada keupayaan atau kebolehan untuk melakukan kerja. Tenaga diperlukan untuk menggerakkan objek pada sesuatu jarak. Tenaga tidak boleh diukur secara langsung. Ia hanya boleh diukur secara tidak langsung dengan melihat berapa banyak kerja yang dilakukan. Unit untuk mengukur tenaga ialah joule, Btu dan kalori. Tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan. Ia hanya boleh ditukar dari satu bentuk ke bentuk lain. Tenaga wujud dalam bentuk-bentuk yang berlainan seperti tenaga cahaya, kimia, haba, graviti, mekanikal, elektrik dan sebagainya.
Tenaga elektrik dijana apabila sumber-sumber tenaga ditukar dari satu bentuk ke bentuk yang lain melalui proses-proses tertentu. Melalui pembakaran sumber tenaga bahan api fosil, maka akan menghasilkan tenaga haba. Tenaga haba kemudiannya akan bertukar menjadi tenaga kinetik. Seterusnya daripada tenaga kinetik akan bertukar menjadi tenaga elektrik. Semasa proses penukaran sumber tenaga kepada tenaga elektrik, banyak tenaga akan hilang. Dengan erti kata lain, untuk menghasilkan tenaga elektrik, banyak tenaga diperlukan.
Di Malaysia, tenaga elektrik bukan sahaja dijana melalui sumber tenaga kovensional tetapi turut dijana malalui tenaga tidak kovensional seperti tenaga hidro. Terdapat tiga jenis stesen jana kuasa iaitu stesen jana kuasa hidro, terma dan gas. Stesen-stesen jana kuasa ini didirikan di lokasi yang bersesuaian dengan penggerak utamanya. Stesen jana kuasa hidro menggunakan air daripada empangan sebagai penggerak utamanya untuk memusingkan turbin. Stesen jana kuasa hidro menggunakan konsep fizik di mana apabila air ditakung pada paras yang tertentu, ia akan menghasilkan tekanan yang tinggi sekitar 90-95%. Selain dapat menjana tenaga elektrik untuk keperluan negara, stesen jana kuasa hidro ini juga membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan minyak malah dapat mengurangkan masalah pencemaran udara. Contohnya seperti Empangan Hidroelektrik Bakun di Sarawak dan Empangan Hidroelektrik Kenyir di Terengganu. Stesen jana kuasa terma pula menggunakan bahan api seperti arang batu dan gas bagi memanaskan air dalam dandang. Dandang akan mengeluarkan stim bertekanan tinggi bagi memutarkan kipas turbin. Stim bertekanan tinggi merupakan sumber penggerak utama stesen jana kuasa terma. Seterusnya, stesen jana kuasa gas pula menggunakan gas bertekanan tinggi sebagai sumber penggerak utama bagi memutarkan kipas turbin. Gas bertekanan tinggi dihasilkan daripada dandang pembakaran melalui pemampatan udara.
Namun begitu, walaupun penggunaan bahan api fosil ini banyak memberi manfaat kepada manusia, timbul pula isu kesan sampingannya terhadap alam sekitar fizikal dan manusia. Pembakaran bahan api fosil di stesen jana kuasa telah menghasilkan berjuta-juta ton gas-gas rumah hijau dan bahan-bahan terampai seperti gas karbon dioksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan sebagainya. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya masalah pencemaran udara, hujan asid, pemanasan global dan sebagainya yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar fizikal dan manusia.
4.0 KESAN NEGATIF DARIPADA PENGGUNAAN BAHAN API FOSIL DALAM PENJANAAN TENAGA ELEKTRIK DI MALAYSIA
Pembakaran bahan api fosil dalam penjanaan tenaga elektrik telah membebaskan asap yang mengandungi berjuta-juta ton bahan-bahan terampai seperti karbon dioksida, sulfur dioksida, hidrokarbon dan sebagainya ke udara. Masalah ini menyebabkan udara menjadi semakin tercemar kerana ditambah pula dengan pembebasan gas-gas pencemar oleh industri-industri perkilangan lain dan kenderaan-kenderaan bermotor. Maka, hal ini telah memburukkan lagi keadaan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kejadian hujan asid, jerebu, dan peningkatan suhu yang juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia.
4.1 Hujan Asid
Hujan asid secara semulajadi adalah berasid. Hal ini disebabkan oleh air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid contonya seperti sulfur dioksida yang terdapat di atmosfera. Pada masa kini, peningkatan penggunaan tenaga elektrik telah menyebabkan bahan api fosil dibakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fosil seperti minyak dan arang batu oleh loji tenaga membebaskan banyak bahan-bahan pencemar. Bahan-bahan pencemar ini kemudiannya disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik. Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Hal ini berlaku apabila asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama kepada golongan kanan-kanak dan golongan warga emas, serta mereka yang berpenyakit seperti penghidap asma.
4.2 Jerebu
Jerebu pula merupakan zarah-zarah kecil yang boleh wujud secara semulajadi ataupun wujud akibat daripada aktiviti manusia. Masalah jerebu sering kali berlaku di Malaysia. Keadaan ini berpunca apabila berlaku pembakaran bahan api fosil yang tidak lengkap dari stesen jana kuasa serta proses perindustrian yang mengeluarkan asap hitam. Apabila zarah-zarah kecil ini berkumpul dalam jumlah yang banyak, bertaburan dan terapung di udara maka ia akan bertindak menyerap dan menghalang cahaya matahari dari sampai ke permukaan bumi. Keadaan ini kemudiannya akan menyekat pemandangan dan menurunkan kadar penglihatan.
Jerebu adalah satu fenomena yang begitu merunsingkan pada suatu ketika dahulu. Contohnya pada 11 Ogos 2005, Malaysia pernah mengisytiharkan darurat akibat jerebu di Selangor dan Pelabuhan Klang setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 500. Hal ini telah menyebabkan kesihatan dan kadar penglihatan penduduk di kawasan tersebut terjejas. IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. Jerebu selalunya berlaku di kawasan bandar. Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk, kesukaran untuk bernafas atau kesesakan nafas, mata pula terasa pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin, kulit badan terasa gatal-gatal dan terasa sakit dada.
4.3 Peningkatan Suhu Bumi
Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia termasuk Malaysia. Kenaikan suhu bumi berlaku disebabkan oleh pembebasan gas-gas pencemar seperti gas karbon dioksida ke udara. Tambahan pula, banyak hutan telah dibalak untuk tujuan komersial. Hal ini menyebabkan hutan tidak dapat lagi berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida. Maka, kandungan gas karbon dioksida semakin meningkat dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak ini telah bertindak menyerap haba, maka menyebabkan haba tidak dapat terbebas ke udara dan lalu menyebabkan suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesannya adalah, permukaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam seperti gempa bumi, letusan gunumg berapi dan sebagainya.
Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu dilakukan untuk mengurangkan kesan negatif akibat daripada penggunaan bahan api fosil tersebut. Sumber alternatif juga perlulah dibangunkan untuk mengurangkan atau menggantikan bahan api fosil yang boleh memudaratkan alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia.
5.0 LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PECEMARAN UDARA DARI STESEN JANA KUASA
Penggunaan bahan api fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli sebagai bahan bakar dalam penjanaan elektrik oleh stesen jana kuasa sememangnya mengundang kepada masalah pencemaran udara. Maka, langkah-langkah pencegahan dan pengawalan yang efektif telah diambil oleh pihak stesen jana kuasa untuk meminimakan pelepasan sisa gas dan cecair ke persekitaran dengan menggunakan teknologi terkini supaya ia tidak menjejaskan alam sekiatar fizikal dan alam sekitar manusia.
Antara langkah-langkah yang akan diambil bagi meminimumkan pencemaran udara akibat penggunaan arang batu sebagai bahan bakar adalah melalui pemasangan ‘Electrostatic Precipitator’ (ESP) iaitu sejenis perangkap habuk yang berupaya untuk memerangkap 99.7% habuk produk pembakaran dari terlepas ke udara. Di samping itu, penggunaan ‘Flue Gas Desulphurization’ (FGD ) boleh diguna pakai dalam operasi stesen janakuasa bagi tujuan menyerap sulfur yang terhasil daripada pembakaran arang batu, manakala penunu rendah NOx atau ‘Low Nox Burner’ pula dapat digunakan bagi mengawal kandungan Nitrogen Oksida (NOx). Seterusnya, pepejal yang terhasil daripada pembakaran arang batu seperti abu terbang dapat diguna pakai dalam industri simen.
Penjana stim yang digunakan pula mempunyai rekabentuk jenis ‘supercritical once-through’, jenis panas semula yang dilengkapkan dengan relau yang disejukkan oleh air, ‘superheater’, ‘reheater’, dan ‘economizers’. Ia berfungsi menghasilkan stim bertekanan tinggi memutarkan turbin stim seterusnya menjana kuasa elektrik. Sistem pembakaran akan dilengkapi dengan penunu rendah NOx lanjutan jenis vorteks dengan senapang minyak api di tengah penunu. Pembakaran dengan menggunakan bekalan udara ‘over-fire’ dilaksanakan untuk pengurangan NOx dan pembakaran zarah arang batu yang lebih lengkap.
Selain itu, dari segi pengurusan air sisa buangan pula, loji jana kuasa juga perlu dilengkapi dengan sistem merawat air kumbahan bagi memastikan sisa air yang dirawat memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Di stesen jana kuasa arang batu, air hujan yang terkumpul di lapangan arang batu akan dialirkan dan disimpan di dalam kolam takungan. Hal ini bagi tujuan pemendapan pepejal terampai sebelum ia dipam ke kolam abu. Manakala,air sisa buangan yang selebihnya pula akan dikumpul di loji rawatan air sisa untuk proses perawatan sebelum dilepaskan. Alat hembus campuran akan dipasang untuk melaraskan pH air buangan sebelum ia dilepaskan.
Sementara itu, pemasangan stesen-stesen pengesan kualiti udara di kawasan yang berdekatan penempatan penduduk juga perlu dilakukan supaya maklumat mengenai tahap kualiti udara dapat disalurkan secara berterusan. Maklumat ini seterusnya perlulah dipantau oleh JAS bagi memastikan tahap pencemaran udara berada pada paras yang telah ditetapkan.
6.0 SUMBER-SUMBER ALTERNATTIF YANG BOLEH MENGGANTIKAN BAHAN API FOSIL
Sumber-sumber alternatif merupakan sumber yang boleh diperbaharui dan mesra alam. Penggunaan sumber ini boleh digunakan untuk menjana tenaga. Terdapat pelbagai sumber yang boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar (matahari), tenaga hidro, hidrogen, biojisim,dan tenaga nuklear.
6.1 Tenaga Solar
Tenaga solar merupakan salah satu tenaga alternatif yang boleh diperbaharui dan tidak akan kehabisan. Tenaga solar adalah daripada cahaya matahari. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun. Malaysia mendapat sebanyak 10 jam tenaga suria setiap hari dan masa matahari tegak diatas kepala merupakan satu masa yang memancarkan tenaga suria secara maksimum. Oleh itu pada ketika matahari tegak diatas kepala, tenaga suria boleh dijana secara maksimum melalui penggunaan kaedah pengumpul penumpu. Dengan menggunakan kaedah ini, ia dapat menghasilkan suhu yang sangat tinggi untuk menghasilkan tenaga. Pantai barat semenanjung Malaysia dan pulau-pulau kecil di pantai barat semenanjung Malaysia mempunyai potensi yang amat luas untuk menjana tenaga solar kerana kawasan ini mendapat sinaran matahari sepanjang tahun. Hal ini adalah kerana kawasan ini tidak mengalami musim tengkujuh seperti yang berlaku di kawasan pantai timur semenanjung Malaysia yang akan mengalami musim tengkujuh sekali setiap tahun. Maka, kawasan pantai timur semenanjung Malaysia tidak sesuai untuk dijanakan tenaga suria
Penerimaan cahaya matahari pada waktu siang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Tenaga matahari boleh diperolehi dengan menggunakan sel-sel suria. Tenaga matahari yang diperangkap oleh sel-sel suria yang dipasang pada khasnya di bumbung rumah akan di tukarkan menjadi tenaga elektrik oleh rod atau sel suria tersebut. Tenaga ini dapat disimpan di dalam bateri sebelum digunakan untuk membekalkan arus elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat matahari untuk jangka masa panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan eletrik pada waktu malam. Di Malaysia, tenaga solar telah digunakan untuk tiang lampu jalan, lampu lintasan kereta api, pengepaman air dan sebagainya.
6.2 Tenaga Hidro
Tenaga hidro juga merupakan salah satu tenaga alternatif yang popular di negara-negara membangun untuk menggantikan bahan api fosil. Manusia telah menggunakan tenaga ini untuk menjalankan kehidupan sejak beribu-ribu tahun dahulu lagi dengan menggunakan air bagi memusingkan roda pedal untuk mengisar gandum.Tenaga ini dapat dijalankan jika terdapatnya sungai yang mempunyai aliran deras. Aliran sungai yang deras seperti air terjun membolehkan tenaga elektrik yang tinggi dihasilkan. Hal ini demikian kerana aliran air yang jatuh dari puncak air terjun membolehkan turbin digerakkan dan seterusnya menyebabkan generator elektrik menghasilkan tenaga elektrik. Malaysia mempunyai aliran sungai yang deras maka, membolehkan empangan hidroelektrik dibina. Contohnya seperti Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Kenyir di Terengganu dan lain-lain. Maka, dapat dilihat bahawa tenaga alternatif seperti tenaga hidroelektrik kini penting kepada seluruh penduduk di dunia termasuklah Malaysia dalam pembekalan tenaga elektrik.
Tenaga hidroelektrik ini juga bersih dan tidak mencemarkan udara. Penghasilan tenaga ini tidak membebaskan gas karbon dioksida yang mampu mencemarkan kandungan udara dan bahan radio aktif atau bahan kimia lain yang boleh mencemarkan sungai. Hal ini berbeza pula dengan tenaga konvensional seperti petroleum yang mampu mencemarkan kandungan udara di sekeliling ketika proses pembakarannya di stesen jana kuasa. Tenaga hidroelektrik juga telah menjadi komersial kerana tenaga ini selamat digunakan dan sangat efisien kepada pengguna.
Tambahan lagi, tenaga hidroelektrik juga amat murah untuk dijanakan. Hal ini bersesuaian dengan keadaan kewangan negara-negara membangun seperti Malaysia yang masih belum begitu kukuh. Melalui penjanaan hidroelektrik ini, ia mampu memberikan pulangan yang agak lumayan kerana tenaga ini merupakan salah satu tenaga yang komersial di dunia.
6.3 Hidrogen
Menurut Wikipedia, hidrogen merupakan unsur paling ringan, dengan dua atom hidrogen membentuk satu molekul hidrogen. Hidrogen wujud secara bebas, dan juga sebagai sebahagian daripada air, bahan galian, dan bahan organik. Hidrogen dibebaskan semula melalui elektrolisis air dan melalui pemprosesan petroleum. Hidrogen tidak terbakar, tetapi meletup apabila bercampur dengan oksigen dan didedahkan kepada api.
Hidrogen juga merupakan bahan pengganti kepada bahan api fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api untuk menggerakkan kenderaan. Hidrogen akan dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa seperti kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hidrogen akan bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk menjana motor tarikan elektrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau dan gas perosak lapisan ozon. Namun begitu, untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum cecair, dan biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.
6.4 Biojisim
Tenaga biomass salah satu sumber tenaga yang tertua di dunia. Tenaga biomass ini mudah diperoleh kerana merupakan sumber tenaga yang bergantung sepenuhnya dengan alam sekitar. Tenaga biomass ini juga dikenali dengan nama tenaga biojisim ataupun tenaga biogas. Pada masa dahulu masyarakat menggunakan tenaga biomass dengan mengambil kayu-kayan sebagai bahan bakar utama untuk mendapatkan tenaga. Namun kini ekoran daripada aktiviti pertanian yang giat dijalankan hasil hampas daripada sisa pertanian ini boleh digunakan sebagai sumber tenaga biomass. Contohnya negara Brazil banyak menggunakan hampas daripada tebu untuk menghasilkan tenaga elektrik daripada sumber biomass ini.
Biomass juga merupakan salah satu alternatif untuk menggantikan bahan bakar fosil. Ia merujuk kepada bahan buangan dan sisa-sisa organik seperti sisa tumbuhan, sisa tanaman, sisa makanan dan najis haiwan serta sisa domestik khususnya sampah sarap. Tenaga biomass dapat di gunakan untuk pelbagai tujuan, antaranya ialah menghasilkan tenaga elektrik, menghasilkan tenaga haba secara langsung dan menghasilkan bahan api berbentuk gas, cecair dan pepejal. Biomass menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan bahan bakar fosil yang sememangnya mencemarkan udara. Biomass dapat terurai dan sumber bahan buatan biomass adalah terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah hijau. Malaysia berpotensi menghasilkan tenaga biomass kerana terdapat banyak bahan buangan dan sisa organik. Bahan buangan industri sawit seperti tandan sawit dan air sisa sawit terutamanya daripada kilang minyak sawit berpotensi dapat digunakan sebagai sumber bahan bakar bagi menghasilkan tenaga elektrik dan sebagainya. Selain sisa kelapa sawit, sisa padi seperti jerami, dan sekam padi serta sisa kilang papan sperti kulit kayu, reja kayu dan habuk gergaji juga dapat digunakan untuk mengahasilkan tenaga biomass.
6.5 Tenaga Angin
Angin adalah udara yang bergerak. Ia tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasai. Angin yang melalui penjana (turbin) akan memusingkannya dan pergerakan ini membolehkan tenaga elektrik dihasilkan. Ia berubah daripada tenaga kinetik kepada tenaga elektrik. Penjanaan jenis ini bergantung kepada kekuatan tiupan angin. Ia memerlukan kekuatan tiupan angin yang kuat. Di Malaysia, kelajuan tiupan angin adalah rendah dan tidak konsisten. Maka, penjanaan tenaga elektrik melalui angin kurang sesuai di Malaysia.
6.6 Tenaga Nuklear
Menurut Wikipedia, tenaga nuklear kadangkala disebut tenaga atom, ialah sejenis tenaga yang mengikat nukleus sesebuah atom. Tenaga nuklear juga merupakan salah satu sumber yang dapat menjana tenaga elektrik. Tenaga nuklear melibatkan penggunaan bahan radioaktif iaitu uranium. Tenaga ini dapat dihasilkan melalui tindak balas pembelahan nuklear dan pelakuran yang boleh digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik. Antara contoh negara yang telah menggunakan tenaga nuklear ialah Amerika Syarikat, Sweeden, Jepun, dan Korea. Malaysia masih lagi tidak berupaya untuk membangunkan sumber tenaga elektrik disebabakan oleh beberapa faktor tertentu seperti kurangnya komitmen kerajaan dalam membangunkan tenaga ini, dan kekurangan sokongan daripada masyarakat kerana bimbang kesan sampingannya terhadap alam sekitar berikutan tragedi Chenobyl, Three Mile Island dan yang terbaru ialah tragedi di Loji Nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.
7.0 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan sumber tenaga yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan. Pihak stesen jana kuasa juga perlulah sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan loji-loji penjanaan supaya dapat menjimatkan kos operasi lalu memberi keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan-pelanggannya. Selain itu, pengguna-pengguna elektrik juga digalakkan meminimakan penggunaan elektrik. Penyelidikan dan pembangunan(R&D) juga perlulah dilakukan supaya sumber tenaga alternatif yang sesuai di dalam negara dapat dibangunkan untuk menggantikan bahan api fosil. Untuk mengelakkan bumi daripada terus tercemar, penggunaan tenaga alternatif yang mesra alam adalah amat digalakkan. Melalui penggunaaannya, ia dapat membantu dalam memulihara alam dan menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
BIBLIOGRAFI
Bernard Cox, Leo Bartlett (1988) “Geography for Understanding”, New Zealand.
Jerome D. Fellman, Arthur Getis, Judith Getis (1999) Sixth Edition. “Human Geography : Landscapes of Human Activities”, United States of Americas.
Katiman Rostam, Asmah Ahmad (2006) “Penilaian dan Pengurusan Sumber Alam”, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (2009) “Kategori Soalan Parlimen : Tenaga” dicapai pada 26 September 2011 daripada http://www.kettha.gov.my/category/kategori-soalan-parlimen/tenaga?page=11.
Khairunnisa Dan Muthia (2008) “Hydogen as an Alternative Fuel” dicapai pada 25 September 2011 daripada http://www.wikimu.com/News/displaynews.aspx?id=7885
Malakoff Corporation Berhad (25 Julai 2011) “RINGKASAN EKSEKUTIF TAJUK PROJEK” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://www.doe.gov.my/portal/wp-content/uploads/Ringkasan-Eksekutif-DEIA-Tg.-Bin-Power-Plant.pdf.
Mohmadisa Hashim, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah (2005) “Pembangunan Dan Alam Sekitar di Malaysia”, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Murtedza Mohamed (1991) “Sumber Alam”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nasrin Abu Bakar (2010) “Biojisim, biogas sawit sumber elektrik” dicapai pada 25 September 2011 daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Biojisim_biogassawitsumberelektrik/Article/index.
National Energy Education Development Project (2011) “Petroleum” dicapai pada 17 september 2011 daripada http://www.need.org/needpdf/infobook_activities/ElemInfo/PetroE.pdf.
Sandakan (2011) “ Sandakan Membantah Arang Batu” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://sandakan.wordpress.com.
Sandakan (2009) “30 Sebab Mengapa Stesen Jana Kuasa Elektrik Arang Batu Tidak diperlukan di Sabah” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://sandakan.wordpress.com/2009/02/20/30-sebab/.
Shafie (2009) “Jenis-jenis Stesen Janakuasa di Malaysia” dicapai pada 20 September 2011 daripada http://asyyshafiesmtmt.blogspot.com/2009/05/jenes-jenis-stesen-janakuasa-di.html.
Sunray (2011) “Topik 5: Penjanaan & Penghantaran Elektrik” dicapai pada 20 September 2011 daripada http://www.slideboom.com/presentations/320457/Topik-5%3A-Penjanaan-%26-Penghantaran-Elektrik
Suzalie bin Mohamed (9 Mac 2011) “Malaysia Negara Kuasa Nuklear Menjelang 2010” dicapai pada 8 Oktober 2011 daripada http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=2&opt=com_article&grp=2&sec=&key=2277&cmd=resetall.
Tenaga Nasional Berhad (2009) “Laporan Tahunan 2009” dicapai pada 1 Oktober 2011 daripada http://www.tnb.com.my/tnb/application/uploads/annualreports/TNB09_BM%28Website%29.pdf.
Ann Bowen, Roger Clay, Carmela Di Landro, John Pallister, Olly Phillipson (1997) “Longman Geography for GCSE”, London.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2010) “Tenaga Nasional Berhad” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Tenaga_Nasional_Berhad.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2009) “Grid Nasional” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Grid_Nasional.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2011) “Gas Asli” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Gas_asli.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2011) “Arang Batu ” dicapai pada 17 September 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Arang_batu.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2011) “Turbin Stim” dicapai pada 20 September 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Turbin_stim.
Wikipedia, the free encyclopedia (2011) “Biofuel” dicapai pada 25 september 2011 daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Biofuel.
Wikipedia, ensiklopedia bebas (2011) “Tenaga Nuklear” dicapai pada 1 Oktober 2011 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Tenaga_nuklear.
William P Cunninham, Mary Ann Cunningham (2006) “Principles of Environmental Science”, Third Edition. Mc Graw-Hill, United States of Americas.
P.S >>> sorry kalau x brp nak cun isi dia...papepon hope ia berguna kpd korang...~~
Assalamualaikum, kak. saya nak tanya dari mana akak dapat maklumat sebanyak ni ya? kebetulan saya tengah mencari maklumat tentang kerja saya. harap akak dapat jawab persoalan saya. ^_^
ReplyDeletehai kak boleh tolong sikit saya nk 3 kaedah pengawalan pencemaran alam sekitar melalui kaedah pengawalan bahan api fosil
ReplyDelete,pengawalan bahan buangan industri dan pengawalan penggunaan pestisid. Saya dah buntu nk buat assiment ni saya cari terus cari tpy tidak dapt
terbaik gilew
ReplyDeleteThank u for the information
ReplyDeleteDo visit my blog and follow my Google plus account . I'll followback .^^
ReplyDeletewww.acrophobiakimi.blogspot.com
:)